Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Kota Constantinople (Istanbul sekarang) akan jatuh ke tangan orang Islam. Pemimpin yang menaklukinya adalah sebaik-baik pemimpin dan pasukan tenteranya adalah sebaik-baik tentera.” (Hadis riwayat Ahmad).

Hanya selepas 800 tahun, ia menjadi kenyataan apabila Sultan Muhammad al-Fateh berjaya menawan dan membuka kota itu daripada kerajaan Rom.

Pengkaji sejarah mendapati antara faktor terpenting yang membawa kepada kejayaan pembukaan kota itu ialah kebaikan akhlak dan perilaku bukan setakat pemimpin saja, malah rakyat secara keseluruhannya.

Bayangkan dalam puluhan ribu tentera itu, tidak seorang pun yang pernah meninggalkan solat fardu sejak usia baligh, sebahagian saja yang pernah meninggalkan solat sunat rawatib dan daripada kalangan yang ramai itu, hanya Sultan Muhammad saja yang tidak pernah meninggalkan solat malam sejak baligh.

Fenomena ini seharusnya membuka mata kita bahawa kebaikan itu mesti menjadi syarat utama membebaskan diri manusia daripada kezaliman dan kejahatan yang melingkungi persekitaran hidup manusia kini.

Bagaimana mahu memastikan harta benda sentiasa terjaga jika kejadian pecah rumah dan samun bermaharajalela setiap hari.

Harus bagaimana memastikan anak muda remaja menjaga maruahnya sedang kerosakan nilai budaya masyarakat dipaparkan dalam media cetak dan elektronik sehari-hari?

Persoalan inilah yang harus dicari jawapan supaya manusia tidak hanyut berada dalam lingkungan tidak sihat, berbudaya negatif, berakhlak tidak sopan dan hidup dalam acuan tidak Islam.

Pelaksanaan kepada kebaikan datangnya dari hati dan dorongan dalaman yang kuat. Niat saja tidak cukup, malah mesti digerakkan melalui tindakan. Namun niat itu sendiri sudah mendatangkan pahala kepada pelakunya.

Wallahualam

Post A Comment:

0 comments: